Tuesday, 27 November 2012

CORAT-CORET BAHASA



KENALI BAHASA MELAYU...


Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia,Brunei dan Singapura. Di Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia, dan di Malaysia, bahasa Melayu secara rasminya dipanggil bahasa Malaysia. Selain daripada keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Selatan Thailand , Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.

Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi.

Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Namun sejak akhir-akhir ini, nama "Bahasa Melayu" digunakan semula. Bermula tahun 2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada Bahasa Malaysia sebagai simbol bahawa bahasa ini adalah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum.

Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata. Keindahan dan kelembutan lenggok bahasa Melayu secara perlahan-lahan telah merentasi sempadan dalam bidang pelajaran, perdagangan serta banyak lagi.
Bahasa Melayu merupakan bahasa aglutinatif, bermaksud makna perkataan boleh diubah dengan menambah imbuhan tertentu. Umumnya, kata dasar (atau kata akar) terdiri daripada kata kerja

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah memainkan peranan penting menjadikan Bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara. Sesungguhnya Perkara 152 ini telah mengiktiraf dan mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan sangat memerlukan satu bahasa sebagai panduan. 


PERANAN BAHASA MELAYU


Ø Lambang jati diri

Bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi,bahasa kebangsaan dan sebagai bahasa pengantar utama adalah  lambang jati diri warganegara dan sebagai lambang negara Malaysia di persada dunia. Dengan hal demikian, bahasa Melayu berperanan sebagai perakuan kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020.

Ø Bahasa perpaduan

Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa perpaduan. Perpaduan sangatlah penting dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Tanpa perpaduan negara akan kucar-kacir dan musnahlah sebuah negara beraulat.Bahasa Melayu telah dipilih berdasarkan kaum majoriti penduduk. Bahasa ini wajib diketahui oleh setiap kaum kerana bahasa ini menjadi bahasa utama dalam konteks hubungan antara kaum.
Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957.

Ø  Bahasa pengantar ilmu pengetahuan

Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Perkara ini terkandung dalam Laporan Razak pada tahun 1957 dan tahun 1961 setelah melaksanakan syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penyemak Rahman Talib yang seterusnya menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan ini bertujuan untuk memungkinkan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan,
)

Ø Menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia

Bahasa Melayu berperanan untuk menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Pengguna bahasa yang mahu melihat bahasa kebangsaan mereka berfungsi dengan cemerlang selaras dengan perkembangan bangsanya mestilah berusaha menjadikan bahasanya lebih baik dan dihormati daripada bahasa yang “dipinjam” semata-mata untuk menunjukkkan status penutur, dan bukannya untuk menyerlahkan kegemilangan bangsa penutur itu sendiri. Penduduk Malaysia haruslah berusaha untuk memartabatkan bahasa ini di persada antarabangsa.

Ø Menampakkan penggunaannya dalam pelbagai perisian dan kesantunan

Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa kebangsaan yang mencerminkan penggunaannya dalam pelbagai perisiannya dan kesantunannya. Tingkat ilmu dan tingkat keperisian itu dapat diukur melalui laras bahasanya manakala nilai estetika keluwesan bahasa ini menjadi pengukur kesantunannya. Bahasa Melayu memiliki peribadi yang istimewa selain terkenal dengan ciri-ciri ketimuran, seperti lemah lembut, beradab, dan berbudi bahasa. Oleh sebab itu, bangsa Malaysia harus menggunakan bahasa Melayu yang baku dan yang mempunyai nilai estetika dan nilai kesantunan.

Ø Wahana politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara bangsanya

Bahasa Melayu juga berperanan sebagai wahana politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara bangsanya. Bahasa yang dapat membina negara bangsanya seharusnya dapat juga melahirkan pengguna bahasa yang berkualiti, berkuasa dan berketerampilan. Maka, lebih banyak kumpulan penutur yang berkuasa dalam penggunaan bahasa Melayu perlu dipupuk seperti ahli politik, ahli korporat, golongan profesional, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelajar sekolah, dan ahli masyarakat bagi mengembangkan bahasa ini dengan terancang, meliputi pelbagai bidang.

Ø Menggambarkan bangsa yang berkuasa

Bahasa yang berkuasa menggambarkan bangsa yang berkuasa. Ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa” menunjukkan bahawa sesuatu bahasa itu dapat maju jika bangsa itu pun maju. Namun begitu, untuk mengetengahkan bahasa Melayu, bahasa lain tidak perlu ditolak. Dalam era globalisasi, pengetahuan tentang bahasa lain amat perlu dan tidak merugikan bangsa. Bangsa itu akan maju dengan mempelajari ilmu pengetahuan daripada bahasa lain, lalu disebarkan ilmu kepada bangsanya.



BAHASA MELAYU DAN CABARAN MASA KINI

Kini pelbagai cabaran dihadapi oleh Bahasa Melayu seperti penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul serta dicampuradukkan dengan hadirnya Bahasa SMS,Bahasa Rojak,Bahasa Slanga dan bermacam-macam lagi walau pun usaha-usaha bagi memartabatkan bahasa Melayu terus dibuat tanpa henti.Antara isu hangat yang sering diperkatakan sekarang ialah isu penggunaan Bahasa Rojak.

Bahasa Rojak digunakan secara meluas terutama dalam kalangan remaja bandar Malaysia, yang sekaligus membimbangkan orang dewasa tetang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Baru-baru ini kerajaan Malaysia memutuskan hendak melaksanakan penggunaan bahasa Melayu yang betul terutama di sektor swasta dengan tidak menggalakkan penggunaan Bahasa Rojak. Sebagai contoh, TV 3 telah menukar nama Karnival Sure Heboh menjadi Karnival Jom Heboh oleh sebab kebimbangan orang ramai.

Majalah komik sering disalahkan kerana menjadi punca Bahasa Rojak dan isu ini sering diperdebatkan. Perkataan atau frasa yang ditulis dalam Bahasa Rojak sering ditekstebalkan untuk memungkinkan pembaca mengenalpasti mereka (seperti dalam majalah Ujang dan Apo?). Secara khususnya, menjelang akhir tahun 2003, majalah Gempak dan Kreko menggunakan bahasa yang lebih formal dan meminimakan penggunaan Bahasa Rojak.
 

KONTROVERSI PENGGUNAAN


Penggunaan Bahasa Rojak di Malaysia merupakan satu topik kontroversi oleh kerana para pengkaji bahasa menganggapnya sebagai penggunaan bahasa yang tidak betul dan mungkin menimbulkan krisis dalam pembelajaran bahasa. Mereka bimbang bahawa siswa-siswi akan lemah dalam kemahiran menulis dan bertutur sekiranya amalan ini terus berlaku. 

Satu cadangan untuk membendung gejala ini adalah untuk bertutur dalam bahasa Melayu tulen dalam satu ayat tanpa campuran bahasa lain. Akan tetapi untuk pelajar-pelajar sekolah luar bandar satu-satunya cara untuk melatih kemahiran berbahasa Inggeris mereka adalah untuk menggunakan bahasa itu dalam perbualan seharian. Dengan diri mereka sendiri yang tidak punyai kemahiran dalam bahasa Inggeris, ia sekaligus memberikan pendengar mereka satu gambaran Bahasa Rojak. Ini juga merupakan satu fenomena yang sedang merebak ke bandar.

Alasan yang paling popular bagi penggunaan Bahasa Rojak ini adalah untuk menonjolkan kehebatan si penutur menguasai bahasa yang satu lagi, terutama Bahasa Inggeris. Malangnya ini juga secara tidak langsung mendedahkan mereka kepada cemuhan orang lain yang melihat mereka sebagai tidak mampu atau dalam bahasa kasarnya, bodoh, dalam menguasai salah satu daripada bahasa tersebut secara sepenuhnya. 

Satu fakta yang memang tidak dapat disangkal lagi ialah, kebanyakan penutur Bahasa Rojak ini biasanya mengalami kesukaran untuk berkomunikasi di dalam persekitaran berbahasa Inggeris yang sebenar, dan ini kerap menyebabkan mereka disalah erti, terutama apabila berada di negara-negara barat yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan seharian.


MASA DEPAN BAHASA MELAYU


Bahasa Melayu sebagai pengantar ilmu mula-mula disarankan dalam Laporan Razak 1956 dan kemudian diperkukuh dalam Laporan Abdul Rahman Talib 1960.  Terbukti kini bahawa Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu apabila  digunakan sepenuhnya di institut pengajian tinggi awam di Malaysia.  Apakah dengan pencapaian tersebut mencerminkan masa depan yang gemilang bagi Bahasa Melayu? Jawapannya mungkin ya atau mungkin tidak, bergantung kepada persepsi individu yang melihat persoalan ini. 

Terkadangnya kedengaran  suara sumbang yang mengatakan Bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu. Pada  hakikatnya orang itu sendiri yang tidak mampu menguasai Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bukan sebaliknya. Bahasa yang canggih dikatakan bahasa  ilmu, bahasa bagi budaya tinggi, dan lebih tegas lagi bahasa bagi sains dan teknologi. 

Peningkatan ilmu dan profesionalisme dalam sesuatu bidang itu haruslah seiring dengan peningkatan ketrampilan wahana itu sendiri, yakni bahasa. Banyak orang berfikir bahasa itu jatuhnya di tempat kedua dan pertamanya ilmu itu. Persepsi ini perlu diubah. Bahasa itu juga satu ilmu dan sejarah membuktikan banyak ahli yang melahirkan pemikiran dan ciptaan baru menguasai ilmu dan bahasa sebagai satu entiti yang terpadu. 

Kita sebenarnya memiliki  bahasa yang berkembang dan dinamis dalam menghadapi apa juga cabaran yang bakal datang. Seharusnya tidak timbul lagi krisis kepercayaan terhadap Bahasa Melayu. Perbincangan topik ini akan menumpukan kepada persoalan cabaran yang dihadapi oleh Bahasa Melayu, iaitu: kewujudan masyarakat yang dwibahasa; Bahasa Melayu dan Dasar Pendidikan Negara; Bahasa Melayu dalam teknologi maklumat dan komunikasi; dan akhirnya Bahasa Melayu dalam era globalisasi.  


KEDWIBAHASAAN



Kedwibahasaan berlaku dalam kalangan masyarakat yang menggunakan banyak bahasa. Kedwibahasaan atau bilingualisme ialah penguasaan dua bahasa seperti penutur bahasa asli. Penggunanya menggunakannya sebagai bahasa komunikasi, yakni menggunakan satu bahasa rasmi untuk berkomunikasi, dan bahasa ibunda untuk hubungan lain misalnya orang Cina dan India yang menggunakan Bahasa Melayu untuk komunikasi rasmi tetapi bahasa ibunda di rumah. 

Kedwibahasaan yang sempurna ialah penguasaan sepenuhnya dua bahasa oleh penutur. Kedwibahasaan sepenuhnya jarang berlaku kerana jarang sekali  seseorang individu dapat menguasai lebih dari satu bahasa dengan baik. Terdapat negara yang mempunyai dua bahasa atau lebih (bilingual atau multilingual) sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan. kedwibahasaan ialah kualiti atau kebolehan seseorang bertutur dalam dua bahasa. Kedwibahasaan majmuk ialah individu yang memperoleh dua bahasa semasa kecil. 

Kedwibahasaan kordinat pula berlaku apabila individu tersebut memperoleh salah satu bahasa tersebut sebagai bahasa pertama dan bahasa kedua pula diperoleh kemudian. Kedua-dua sistem tersebut disepadukan dan disimpan secara berasingan.

Kedwibahasaan lahir dalam masyarakat majmuk yang pelbagai budaya, etnik, agama, bangsa, kaum dan lain-lain. Hubungan budaya dengan budaya asing biasanya berlaku di bandar-bandar besar dan pusat perdagangan yang mempunyai pelbagai ragam manusia dan budaya.  

Penjajahan juga membawa masuk unsur budaya baru dan bangsa asing yang menggunakan dan memaksa rakyat pribumi menggunakan bahasa mereka dalam sistem pemerintahan, khususnya pendidikan dan ekonomi misalnya penjajah Inggeris di Tanah Melayu. Hartmann (1976) mengatakan bahawa kedwibahasaan melibatkan penggunaan dua bahasa oleh penutur atau masyarakat pengguna bahasa. Penutur dwibahasa tidak semestinya penterjemah yang baik sebab kemahiran menukar kod dari satu bahasa ke bahasa yang lain diperoleh secara berasingan dan individu tersebut mestilah mahir dalam perbualan kedua-dua bahasa dalam semua keadaan.

Malaysia merupakan sebuah negara yang multibahasa dan terdapat individu yang dapat memahami dua bahasa atau lebih, sama ada Melayu-Inggeris, Cina-Melayu-Inggeris, atau India-Melayu-Inggeris, dan sebagainya. Individu yang berpengetahuan dalam kedua-dua bahasa tetapi yang satu lagi tidak pernah dilahirkan dalam bentuk ujaran atau tulisan, bahkan cuba disembunyikan atas sebab-sebab tertentu dinamakan covert bilingual atau dwibahasa terlindung. Individu dwibahasa tidak akan mempunyai pengetahuan kedua-dua bahasa yang sama baik. Kadang-kadang individu tersebut hanya memahami sahaja tetapi tidak boleh menulis atau bertutur dengan baik.  

Kedwibahasaan wujud di negara-negara yang menjadikan dialek sebagai bahasa rasmi seperti di Perancis. Keadaan dwibahasa yang memperlihatkan penutur mengamalkan dialek masing-masing dalam kehidupan seharian tetapi menggunakan dialek utama yang telah dijadikan bahasa rasmi. Sama juga halnya dengan Malaysia yang menggunakan dialek Melayu-Johor sebagai bahasa rasmi tetapi menggunakan dialek masing-masing di rumah misalnya dialek Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan sebagainya.

Kedwibahasaan berlaku akibat bahasa tempatan dijadikan bahasa rasmi tetapi bahasa lain digunakan sebagai bahasa penyatuan. Di Rusia misalnya, bahasa Rusia dijadikan bahasa penyatuan tetapi rakyat tempatan boleh menggunakan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi seperti bahasa Ukraine dan Estonia.  

Kedwibahasaan juga berlaku akibat berpegang kepada idea bahawa penggunaan satu bahasa asing yang dipupuk di samping bahasa ibunda terus digalakkan dalam pembelajaran untuk tujuan mendapat pengiktirafan setaraf dengan bangsa lain. Mengikut ideologi ini, pembelajaran satu bahasa asing dalam keadaan tertentu akan membentuk individu yang mempunyai cara pemikiran baru untuk menghapuskan permusuhan dalam kalangan rakyat misalnya di Singapura.

Perdagangan memainkan peranan utama apabila bahasa merupakan wahana untuk berkomunikasi dan berinteraksi untuk urusan jual-beli. Penerokaan dunia baru juga memerlukan individu memahami dunia yang dilawati untuk memahami budaya bangsa merentasi pelbagai negara. Pengembangan agama oleh mubaligh Kristian dan Islam membawa masuk bahasa asing ke alam Melayu, iaiatu Bahasa Inggeris, Belanda, Portugis, dan Arab. 

Dasar pendidikan sesebuah negara mencerminkan masyarakat yang lahir misalnya Malaysia yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam sistem pendidikan negara akan melahirkan penutur dwibahasa. Dasar bahasa negara juga melahirkan penutur dwibahasa. Malaysia telah menetapkan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan tetapi menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua; manakala Brunei Darussalam menetapkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi.  

Satu lagi unsur yang mewujudkan kedwibahasaan ialah perkahwinan campur dalam masyarakat majmuk yang melahirkan kanak-kanak yang berdwibahasa sejak dari lahir lagi. Pemerolehan dua bahasa serentak berlaku apabila kedua ibu dan bapa menggunakan kedua-dua bahasa ibunda mereka dalam kehidupan seharian.

Kesan yang paling ketara akibat kedwibahasaan ini ialah berlakunya penukaran kod atau pertukaran kod yang dikenali sebagai code switching.  Berlakunya penukaran daripada satu bahasa kepada satu bahasa yang lain disebabkan oleh perubahan tajuk atau pertukaran siapa yang disapa. Fenomena ini begitu meluas dalam kalangan penutur di Malaysia. Misalnya pelajar Melayu berbahasa Inggeris dengan kawan berbangsa Cina tetapi menukar kodnya semula ke dalam Bahasa Melayu apabila bercakap dengan ibunya yang tidak fasih berbahasa Inggeris. 

Kesan yang selanjutnya ialah percampuran kod atau code mixing.  Ini berlaku apabila seseorang menukarkan kod apabila berbicara secara berganti-ganti untuk satu tajuk yang sama dalam ujaran mereka. Misalnya seorang pelajar bangsa Melayu bercakap dalam Bahasa Inggeris untuk membincangkan sesuatu tajuk tetapi kemudiannya mencampuradukkan dengan Bahasa Melayu kerana sesuatu hal seperti tidak tahu perbendaharaan kata yang sesuai digunakan atau sebagainya. 

Fenomena percampuran kod menggambarkan keadaan bahasa sebenar dalam tempoh pemerolehan bahasa kanak-kanak. Namun begitu, dengan berlakunya peredaran masa dan penambahan perbendaharaan kata, ciri ini mungkin luput apabila kanak-kanak berupaya menggunakan kata dalam bahasa kedua untuk menyampaikan maksud. Namun demikian, di Malaysia dengan latar pendidikan dwibahasa yang diamalkan di sekolah-sekolah dan luar persekitaran yang didedahkan dengan Bahasa Inggeris seperti media elektronik, kanak-kanak telah didedahkan dalam situasi dwibahasa  pada peringkat awal lagi. Malah, percampuran kod bukan sesuatu yang asing lagi dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. 

Pemindahan bahasa juga berlaku akibat kedwibahasaan. Ini berlaku apabila terdapat penggunaan unsur-unsur bahasa pertama dalam bahasa kedua. Terdapat dua jenis pemindahan bahasa, iaitu pemindahan negatif atau gangguan dan kedua, pemindahan positif. Pemindahan negatif melibatkan pola bahasa natif yang menyebabkan kesilapan dalam bahasa sasaran. Pemindahan positif pula melibatkan pemindahan yang memudahkan pembelajaran dan berlaku dalam kedua-dua bahasa natif dan bahasa sasaran yang mempunyai unsur persamaan. 

Kita juga dapat melihat bentuk pengasimilasian bahasa berlaku dalam kedwibahasaan. Proses ini melibatkan penerimaan bahasa secara beransur-ansur oleh generasi kedua sehingga akhirnya tidak menggunakan bahasa ibunda mereka. Kesan lain ialah kelahiran bahasa pijin dan bahasa kreol. Bahasa pijin memperlihatkan unsur kedua-dua bahasa bercampur sehingga melahirkan bahasa baru, namun tidak boleh diklasifikasikan sebagai bahasa asal. Bahasa kreol pula ialah bahasa pijin yang menjadi bahasa ibunda atau bahasa pertama masyarakat penuturnya  akibat pertembungan dua bahasa.  


22 comments:

  1. Tahniah. teruskan usaha mendidik anak bangsa. Terima kasih kerana perkongsian ilmu. Blog yg berinfo dan ceria

    ReplyDelete
  2. Assalammualaikum wbt.
    Tahniah. Blog cikgu berinfomasi dan padat dengan nota. Teruskan cikgu :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Komen yang memberi suntikan semangat buat saya...terima kasih..

      Delete
  3. Terima kasih atas perkongsian info yang bermanfaat.^^

    ReplyDelete
  4. Wah, banyaknya maklumat yang dapat diperoleh dalam blog cikgu. Terima kasih kerana sudi berkongsi.

    ReplyDelete
  5. Terima kasih atas sokongan semua...

    ReplyDelete
  6. Wah rajinnya cikgu ni buat nota panjang lebar yang penuh berinformasi ni.Tahniah dan teruskan usaha cikgu.

    ReplyDelete
  7. Blog cikgu amat memanfaatkan murid-murid kerana padat dengan maklumat yang berguna.Pastinya murid-murid cikgu dapat belajar dengan seronok.Tahniah Cikgu Faridah.

    ReplyDelete


  8. Tahniah. Blog yang menarik dan penuh dengan informasi yang bermanfaat kepada murid dan juga guru. Terima kasih atas perkongsian maklumat. Teruskan usaha murni cikgu mendidik anak bangsa.



    ReplyDelete
  9. Terima kasih...saya akan cuba tambahkan info dari semasa ke semasa...

    ReplyDelete
  10. Tahniah Faridah... Usaha yg gigih demi memartabatkan Bahasa Melayu, agar dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bahasa2 utama dunia!

    ReplyDelete
  11. Syabas, kerana coretan ini banyak memberi info kepada pembacanya dan teruskan percambahan ilmu ini...

    ReplyDelete
  12. Terima kasih atas sokongan ...saya akan buat yang terbaik dan jadikan kerja kursus ini untuk menyimpan khazanah ilmu yang saya ada sebagai rujukan semua pembaca dan saya sendiri juga..malah saya rasa bertuah kerana dapat mempelajari blog dalam kursus ini..

    ReplyDelete
  13. Tahniah...Info yang sangat berguna kepada semua.

    ReplyDelete
  14. Nice blog. Info yang padat dan menarik. Keep it up..

    ReplyDelete

You are honoured to do this